cache cetak  w3c biru hijau merah uk Bahasa/Language
 
  • Direktori JPM
  • Profil Pengarah
  • Profil Jabatan
    • Carta & Organisasi
    • Carta Organisasi KDN
    • Ikrar Jabatan
  • PERSIAP
  • Sistem Tempahan Produk
  • Peta Lokasi
Dari 01 Mei 2010,
Bilangan Capaian :

View Statistic


fb tweet prihatin youtube qr rss


videogaleri
Tarikh Kemaskini : 18 September 2014


  Pautan Dalaman

GALERI PRODUK PENJARA PULAPEN MPM AKADEMI SUKPEN


  Pencapaian
capai
  Teks Ucapan
 
 
   
Ucapan Hari Penjara 2007 Ketua Pengarah Penjara Malaysia
Jumaat, 02 November 2007 00:11 | Admin

TEKS UCAPAN
Y. BHG. DATUK MUSTAFA BIN OSMAN
KETUA PENGARAH PENJARA MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI JABATAN PENJARA MALAYSIA 2007
PADANG KAWAT MAKTAB PENJARA MALAYSIA
6 NOVEMBER 2007

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM

Terima kasih saudara/i Pengacara Majlis

Yang Berhormat Dato' Mohd Johari bin Baharum Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri

Y. Bhg. Komisioner Penjara Dato' Hj. Zulkifli bin Omar, Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Operasi)

Pengarah-Pengarah Jabatan Penjara Malaysia,

Dif-dif jemputan serta Pegawai-pegawai Kanan Penjara

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

ASSALAMUALAIKUM W.B.T DAN SALAM SEJAHTERA.

Alhamdulillah. Bersama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan limpah rahmat serta keizinan-Nya jua maka kita sekali lagi dipertemukan dan dapat bersama-sama berhimpun dalam Majlis Sambutan Hari Jabatan Penjara Malaysia bagi Tahun 2007 ini.

Terlebih dahulu, saya amat berbesar hati ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Mohd Johari bin Baharum, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, dan Dif-dif jemputan yang telah sudi melapangkan masa untuk hadir walaupun masing-masing sentiasa dalam kesibukan tugas. Sudah pasti dengan kehadiran ini, majlis akan berlangsung dalam suasana harmoni dan lebih bermakna kerana ia menjadi tanda sokongan khususnya kepada kami seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia.

Yang Berhormat, Dato'-Dato', Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian

"MASYARAKAT SEJAHTERA, TANGGUNGJAWAB BERSAMA" masih lagi dikekalkan sebagai tema bagi majlis sambutan pada kali ini. Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran secara berterusan kepada masyarakat agar dapat bersama-sama dalam memastikan kesejahteraan hidup masyarakat di negara ini terus berkekalan. Setiap anggota masyarakat perlu lebih sensitif dan prihatin, dimana penderitaan dan kesusahan hidup rakyat di negara-negara lain yang sering huru-hara dan ditimpa pelbagai musibah seharusnya boleh dijadikan pengajaran. Sebagai rakyat di negara ini kita amat bertuah kerana masih dapat hidup dalam suasana yang aman dan selamat. Amalan kerjasama, toleransi dan sikap tidak mementingkan diri sendiri merupakan kunci kejayaan untuk kita mengekalkan suasana harmoni ini sehingga kini. Amalan ini perlu kita pertahankan.

Yang Berhormat, Dato'-Dato', Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian

Melalui majlis sambutan ini juga, Jabatan Penjara Malaysia khususnya, ingin mengajak segenap lapisan masyarakat untuk turut serta dan melibatkan diri dalam aktiviti kepenjaraan yang sedang dan bakal dilaksanakan. Pada masa lalu masyarakat sering membayangkan penjara adalah tembok batu yang sunyi dan perlu dijauhi. Suasana telah pesat berubah dimana kini Jabatan Penjara seharusnya tidak lagi dipinggir malah perlu didekati. Pelbagai saluran dan kemudahan telah disediakan agar masyarakat selesa untuk tampil memberikan kerjasama dan sokongan dalam memastikan perkhidmatan kepenjaraan di negara ini mencapai segala matlamat dan objektif yang ditetapkan.

Jika diimbas kembali, sejak 50 tahun yang lalu hingga ke hari ini banyak perubahan dan perkembangan yang berlaku dalam Jabatan Penjara Malaysia. Pertama sekali, dari aspek kefungsian penjara yang kini bukan sekadar dipertanggungjawabkan dalam aspek kawalan keselamatan tetapi juga memastikan keberkesanan aspek pemulihan terhadap penghuni penjara. Pertambahan fungsi ini menyebabkan berlakunya perubahan terhadap hala tuju Jabatan Penjara. Begitu juga dengan tanggungjawab yang dipikul dan peranan anggota penjara telah semakin berkembang. Untuk memastikan perlaksanaan kedua-dua fungsi asas penjara ini dapat dicapai dengan baik pelbagai inisiatif telah diambil melalui pelan dan perancangan starategik yang telah disediakan.

Justeru itu, sepanjang tahun 2007 ini, usaha masih diteruskan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan. Ia melibatkan penambahbaikan terhadap prasarana, pembangunan sumber manusia, aplikasi sistem pengurusan dan sistem penyampaian perkhidmatan terkini, memperkenalkan program ataupun aktiviti-aktiviti baru dalam pengurusan pesalah dan sebagainya. Di samping dapat memberikan keselesaan dan meningkatkan kepuasan pelanggan, melalui usaha ini juga diharapkan dapat mengurangkan seterusnya mengatasi permasalahan sedia ada.

Yang Berhormat, Dato'-Dato', Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian

Dari aspek pembangunan, khususnya melalui RMK9 sebahagian besar projek pembangunan yang dirancang telahpun diluluskan kerajaan. Ini termasuklah pembinaan 16 buah penjara baru seperti Penjara Baru Kuching, Bentong, PPA Machang, Perlis, Pulau Pinang, Penjara Industri Jasin, Penjara Tegar Johor Bahru, Penjara Tegar Terengganu, Penjara Labuan, Penjara Temerloh, Penjara Lahad Datu, Penjara Juvana Selangor, Penjara Sungai Udang, Penjara Bintulu, Penjara Tegar Lembah Klang dan Penjara Tegar Pulau Pinang. Begitu juga dengan pengkategorian semula institusi penjara sedia ada serta penambahbaikan dan naik taraf depot-depot PATI. Melalui usaha ini, disasarkan akan mampu meningkatkan kapasiti dari 38,750 kepada kira-kira 56,000 pada 2010. Seterusnya diharapkan dapat mengurangkan masalah kesesakan penjara kesan aliran kemasukan pesalah yang dijangka meningkat dengan adanya pertambahan penduduk, pengaliran masuk buruh asing dan peningkatan kegiatan jenayah negara.

Di samping menambahbaik perkhidmatan sedia ada langkah turut diambil untuk menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang baru kepada pelanggan jabatan. Ia termasuk mewujudkan pegawai khidmat pelanggan, memperluaskan penggunaan sistem lawatan secara televisit, tempahan produk penjara secara on-line, penyediaan ruangan aduan dan forum melalui portal Jabatan Penjara dan sebagainya. Dengan kemudahan ini, para pelanggan lebih mudah berinteraksi dalam mendapatkan maklumat berkaitan Jabatan Penjara Malaysia.

Dalam aspek pengurusan pesalah, usaha giat dilaksanakan bagi merealisasikan perlaksanaan sistem parol di negara ini. Dengan perlaksanaan sistem ini para pesalah dapat diasimilasikan lebih awal ke dalam kehidupan bermasyarakat.

Yang Berhormat, Dato'-Dato', Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian

Sebelum mengakhiri ucapan, terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Yang Berhormat Dato' Mohd Johari bin Baharum, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan sekalian hadirin yang sudi melapangkan masa untuk bersama-sama di majlis sambutan Hari Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2007 ini. Seterusnya, terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat dan bertungkus lumus dalam menjayakan majlis ini.

Akhir kata, sesungguhnya segala percapaian ini diperolehi, berkat kerjasama dan komitmen yang diterima daripada semua pihak. khususnya Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, anggota serta pertubuhan masyarakat, pihak swasta, badan bukan kerajaan, agensi-agensi kerajaan yang lain dan seluruh warga penjara. Diharapkan paduan tenaga dan idea ini dapat dikekalkan untuk kita mencapai kejayaan demi kejayaan pada masa akan datang.

Sekian,

Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

 
 
mygov spr ksn bpa mobile dapat epsa msc hrmis ep tour pemudah integriti bisa  
Hak Cipta Terpelihara. © 2012 Jabatan Penjara Malaysia.        Notis Penafian, Dasar Keselamatan & Privasi