Portal Rasmi Jabatan Penjara Malaysia
audio cachecetak w3c 1 1 1 biru hijau merah 1
  MS ISO 9001:2015
 
 
   

PELAKSANAAN SISTEM PENGURUSAN KUALITI MS ISO 9001:2015 DI JABATAN PENJARA MALAYSIA

 

Secara umumnya, usaha ke arah pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO di Jabatan Penjara Malaysia bermula pada tahun 1997 di bawah teraju Ketua Pengarah Penjara pada masa itu iaitu YBhg. Datuk Mohd Zaman Khan.  Bagi merealisasikan idea tersebut, beberapa orang pegawai kanan penjara telah dilantik menganggotai pasukan petugas khas pertama yang dibentuk dengan dibantu oleh pakar-pakar pengurusan kualiti dari INTAN.  Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO mula dilaksanakan di Jabatan Penjara Malaysia pada tahun 1998 menggunakan versi MS ISO 9002:1994 di bawah skop Pengurusan Penahanan Banduan Hukuman Singkat Dan Hukuman Lama Dari Peringkat Pendaftaran Sehingga Banduan Dibebaskan.  Di peringkat awal pelaksanaan hanya 4 buah institusi terlibat iaitu Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Penjara Kajang, Penjara Sungai Buloh dan Penjara Seremban.  Pensijilan pertama yang diterima bagi versi ini adalah bagi tempoh 2 tahun iaitu bermula dari 19 Mac 2001 sehingga 20 Mac 2003. Ketua Pengarah Penjara pada masa itu di terajui oleh YBhg. Datuk Hj. Omar bin Mohamed Dan.

 

SPK ini kemudiannya telah ditambahbaik kepada versi MS ISO 9001:2000 pada awal tahun 2004 semasa era YBhg. Datuk Mustafa bin Osman selaku Ketua Pengarah melibatkan penyertaan 20 buah lagi institusi penjara di bawah skop yang sama menjadikan jumlah keseluruhan institusi terlibat kepada 24 buah termasuk Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Ibu Pejabat Penjara Sabah dan Ibu Pejabat Penjara Sarawak.  Bagi memantapkan pengurusan latihan kepada semua kategori pegawai penjara, pada tahun 2008 SPK versi 9001:2000 mula dilaksanakan di Maktab Penjara Malaysia dan Pusat Latihan Pegawai Penjara Taiping masing-masing di bawah skop Pengurusan Pengendalian Latihan Asas Pegawai Lantikan Baru Jawatan Penolong Penguasa Penjara Gred KX27 Dan Penguasa Penjara Gred KX41 dan Pengurusan Pengendalian Latihan Asas Pegawai Lantikan Baru Jawatan Pegawai Penjara Gred KX17.

 

YBhg. KJP Datuk Seri Hj. Zulkifli bin Omar yang dilantik pada 1 Jun 2009 sebagai  Ketua Pengarah Penjara Malaysia yang baru sehingga kini, meneruskan usaha meningkatkan kualiti pengurusan organisasi penjara ke arah yang lebih tinggi dengan melaksanakan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Terbaik (Good Services Delivery System) dalam perkhidmatan awam sebagaimana dihasratkan kerajaan.  Usaha beliau ini bertepatan dengan visi pertama jabatan yang digariskan iaitu untuk menjadi organisasi koreksional bertaraf dunia menjelang tahun 2020.  Sehubungan itu, pada tahun 2009 dan 2010 SPK  MS ISO versi baru 9001:2008 diperkenalkan bagi menggantikan versi 9001:2000 di beberapa buah institusi seperti berikut:

 

  • 4 buah Pusat Pemulihan Akhlak dan 1 Tempat Tahanan Perlindungan di bawah skop Pengurusan Penahanan Orang Tahanan Dari Peringkat Pendaftaran Sehingga Dibebaskan;
  • 2 buah Sekolah Henry Gurney di bawah skop Pengurusan Penahanan Penghuni Dari Peringkat Pendaftaran Sehingga  Dibebaskan;
  • Akademi Koreksional Malaysia di bawah skop Pengurusan Kursus Jangka Pendek Dan Diploma Untuk Pegawai Kanan Dalam Perkhidmatan.

 

 

Dalam usaha mencapai kecemerlangan berterusan serta mematuhi piawaian antarabangsa secara menyeluruh dalam bidang pengurusan, pihak jabatan telah memperluaskan pelaksanaan SPK menggunakan versi 9001:2008 melibatkan Ibu Pejabat Penjara Malaysia, 2 buah Ibu Pejabat Penjara Negeri, 28 buah institusi penjara, 14 Pejabat Parol Negeri dan 50 Pejabat Parol Daerah seluruh Malaysia di bawah skop ”Pengurusan Penahanan Banduan Meliputi Banduan Sabitan Hukuman Lama Dan Hukuman Singkat Dari Peringkat Pendaftaran Sehingga Banduan Dibebaskan Termasuk Banduan Yang Diparol”.  Hasil usaha bersungguh-sungguh pihak pengurusan tertinggi jabatan serta komitmen semua pihak terlibat, pengiktirafan dan pensijilan semula kali kedua MS ISO 9001:2008 telah berjaya diperolehi bagi 95 buah institusi penjara dan parol untuk tempoh 3 tahun bermula dari 20 Disember 2011 hingga 20 Disember 2014 melalui SIRIM QAS International dan IQ Net International iaitu sebuah badan persijilan kualiti peringkat antarabangsa.



Pada tahun 2015, Jabatan Penjara Malaysia telah mewujudkan 12 buah ibu pejabat negeri di semenanjung Malaysia yang dikenali sebagai Pejabat Pengarah Penjara Negeri.  Serentak itu, Ibu Pejabat Penjara Sabah dan Ibu Pejabat Penjara Sarawak telah ditukar nama kepada Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak manakala Pejabat Parol Negeri diletakkan di bawah pengurusan Pejabat Pengarah Penjara Negeri. Persijilan semula kali ketiga versi MS ISO 9001:2008 telah dilaksanakan pada tahun 2014 melibatkan Ibu Pejabat Penjara Malaysia, 14 buah Pejabat Pengarah Penjara Negeri, 94 institusi penjara dan 50 Pejabat Parol Daerah  seluruh Malaysia bagi tempoh 3 tahun bermula dari 21 Disember 2014 sehingga 21 Disember 2017.

 

Seiring Era Tranformasi Nasional serta visi baru jabatan iaitu menjadi peneraju kepada perkhidmatan korektif, pada tahun 2016 Jabatan Penjara Malaysia mengambil inisiatif menambahbaik versi ISO sedia ada kepada versi terkini MS ISO 9001:2015.  Versi ini melibatkan elemen pengurusan risiko dalam sistem pengurusan yang diharap menjadi tonggak kepada kejayaan SPK jabatan pada tahun-tahun mendatang yang dilihat amat mencabar.  

 

Pelancaran SPK MS ISO 9001:2015 telah diadakan pada 5 November 2016 oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri YBhg. Dato’ Sri Alwi Bin Hj. Ibrahim sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Instusi Penjara (MKKI) Bil. 2/ 2016 untuk dilaksanakan kepada semua institusi penjara yang terlibat bermula pada 1 Disember 2016.  Bagi tujuan ini, usaha-usaha awal terus dijalankan bermula Januari 2016 menerusi siri-siri perbincangan, kursus serta bengkel kepada pihak pengurusan dan pegawai kanan institusi penjara bagi memberi kefahaman jelas berhubung versi baru ini.

 

Bermula dari peringkat pembinaan dokumen kualiti versi MS ISO 9001:2015 yang baru pada Julai 2016 sehinggalah ke peringkat pelaksanaan versi baru ini pada 1 Disember 2016, Audit Persijilan MS ISO 9001:2015 oleh SIRIM telah diadakan pada bulan September 2017 dimana Jabatan Penjara Malaysia telah disyorkan memperolehi persijilan MS ISO 9001:2015 bermula tahun 2017.

 

Secara keseluruhan, pelaksanaan SPK versi MS ISO 9001:2015 di Jabatan Penjara Malaysia sehingga kini melibatkan sebanyak 103 buah institusi dengan pecahan seperti berikut:

  • Di bawah skop “Pengurusan Penahanan Banduan Sabitan Dan Banduan Akhir Dari Peringkat Pendaftaran Sehingga Banduan Dibebaskan Atau Selesai Pelaksanaan Hukuman Berdasarkan MS ISO 9001:2015”

           

Ibu Pejabat Penjara Malaysia 1
Pejabat Pengarah Penjara Negeri/ Parol Negeri 13
Penjara 34
Parol Daerah 51
JUMLAH 94

 

  • Di bawah skop “Pengurusan Penahanan Orang Tahanan Dari peringkat Pendaftaran Sehingga Dibebaskan”

 

PPA Muar 1
PPA Machang 1
PPA Batu Gajah 1
JUMLAH 3

 

  • Di bawah skop “Pengurusan Penahanan Penghuni Dari peringkat Pendaftaran Sehingga Dibebaskan”

 

SHG Teluk Mas 1
SHG Keningau 1
JUMLAH 2

 

  • Di bawah skop “ Pengurusan Latihan Kakitangan”

 

AKM 1
MPM 1
PLPP  1
IKOM 1
JUMLAH 4

 

Jumlah keseluruhan institusi penjara yang terlibat dengan pelaksanaan SPK MS ISO 9001:2015 adalah sebanyak 103 buah.

 
 
  Capaian Pengguna
 
 
   

 

 
 
Notis Penafian, Dasar Keselamatan & Privasi

Hak Cipta Terpelihara. © 2012 Jabatan Penjara Malaysia.
PENAFIAN : Jabatan Penjara Malaysia TIDAK bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Paparan terbaik pada Internet Explorer (9/10/11), Google Chrome, Mozilla Firefox 3 dan dengan resolusi minima 1366x768.


JABATAN PENJARA MALAYSIA | Kompleks Penjara Malaysia, 43000 Kajang, Selangor. Tel : 03 8732 8000 | Faks : 03 8739 9205 Email : pro@prison dot gov dot my
cert fb tweet youtube rss

Top