| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Agama Dan Kaunseling - Psychology Helper

       

PENGENALAN

Pelaksanaan HELPER dalam Jabatan Penjara Malaysia merupakan satu inisiatif Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Penjara Malaysia dalam memperluas dan mempertingkatkan skop aplikasi psikologi kepada perkhidmatan pengurusan banduan/ tahanan/ penghuni yang semakin mencabar sejak kebelakangan ini.

HELPER diperkenalkan dalam jabatan dengan harapan mempertingkatkan keupayaan banduan/ tahanan/ penghuni dari segi penyesuaian dengan segala aspek kepenjaraan. Tahap penyesuaian yang tinggi dalam kalangan banduan/ tahanan/ penghuni bermaksud kesulitan yang dihadapi mereka akan dapat diminimakan. Keadaan tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan beban kerja pegawai jabatan, malahan sekaligus membantu hasrat jabatan dalam mencapai Aspirasi Penjara Sejahtera.

TUJUAN
Kertas cadangan ini disediakan untuk diangkat bagi pertimbangan kelulusan pihak pengurusan tertinggi jabatan dalam memohon peruntukan membekal dan menghantar Lencana Woven HELPER Psychology bagi pelaksanaan program psikolgi kepada banduan/tahanan/penghuni penjara.


KONSEP PROGRAM PSYCHOLOGY HELPER
Program HELPER berkonsepkan ‘Rakan Membantu Rakan’ dengan berteraskan asas kemahiran psikologi dan bimbingan. Ia menekankan perkongsian input pengetahuan, nilai-nilai positif pada diri HELPER dan rakan sepenjara serta nilai-nilai kepenjaraan yang dibawa oleh jabatan. Konsep membantu rakan diwujudkan bagi menyediakan mekanisma perkongsian dan penyelesaian masalah dalam kalangan banduan/ tahanan/ penghuni penjara. Selain itu, ia membolehkan banduan/ tahanan/ penghuni berkongsi nilai-nilai positif, dijadikan tempat meluahkan perasaan dan mendapatkan bimbingan serta sokongan daripada HELPER.


OBJEKTIF PROGRAM HELPER

Program HELPER dalam Jabatan Penjara Malaysia bertujuan membentuk kelompok sokongan yang terlatih antara HELPER dengan rakan sepenjara dan Pegawai Penjara serta Pegawai Psikologi. Objektif utama pelaksanaannya ialah:

Membimbing banduan/ tahanan/ penghuni yang menghadapi permasalahan dari segi kepenjaraan

Mengaplikasikan konsep ‘Rakan Bantu Rakan’ dalam kalangan banduan/ tahanan/ penghuni

Mewujudkan platform perkhidmatan menolong kepada golongan banduan/ tahanan/ penghuni melalui kemahiran menolong

PERANAN HELPER

Peranan HELPER ialah untuk membantu mewujudkan pengurusan banduan/ tahanan/ penghuni yang berbentuk lebih humanistik. Antara peranannya adalah seperti yang berikut:

  • Berkongsi pengalaman dan pengetahuan kepenjaraan
  • Memberi sokongan kepada rakan sepenjara yang bermasalah
  • Memberi motivasi untuk mengekalkan perubahan
  • Menjadi pembimbing kehidupan rakan sepenjara
  • Memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan rakan sepenjara
  • Membantu Pegawai Penjara dan Pegawai Psikologi dalam aspek bimbingan psikologi

SKOP HELPER

Skop HELPER dalam Jabatan Penjara Malaysia berfokus kepada peningkatan kompetensi seperti berikut:

Kompetensi Intrapersonal menggambarkan bagaimana mengurus diri sendiri, sama ada menerima atau menghargai diri sendiri dan kebolehan untuk mengurus kognitif, emosi dan tingkah laku secara bersesuaian dalam kepenjaraan.

Kompetensi Interpersonal merujuk tentang bagaimana menguruskan perhubungan sesama manusia melalui interaksi sosial. Proses sosial ini mengandungi elemen empati iaitu kesedaran mengenai perasaan, keperluan dan keprihatinan Pegawai Penjara serta rakan sepenjara.

Kompetensi Budaya merujuk tentang bagaimana menguruskan penyesuaian terhadap budaya kepenjaraan yang amat berbeza dengan dunia luar. Ia juga merujuk kepada penyesuaian keadaan silang budaya yang wujud dalam kepenjaraan.

Kompetensi Bimbingan merujuk kepada pengetahuan dan pendekatan HELPER semasa menawarkan bantuan dan bimbingan, kecekapan menggunakan kaedah dan pendekatan yang bersesuaian dalam mencari jalan penyelesaian sesuatu isu yang dihadapi oleh rakan sepenjara dan sebagainya.

KRITERIA PENCALONAN HELPER

Pelantikan banduan/ tahanan/ penghuni sebagai HELPER harus memenuhi syarat-syarat seperti yang berikut:

Banduan/ tahanan/ penghuni yang boleh menjadi role model kepada rakan sepenjara dan mempunyai minat untuk menolong rakan sepenjara yang lain. Contohnya Banduan Peringkat Khas;

Banduan/ tahanan/ penghuni yang berkelakuan baik dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib dalam penjara;

Mempunyai hubungan yang baik dengan pihak pengurusan penjara dan rakan sepenjara dalam institusi;

Mendapat pengesyoran dan dipilih oleh Jawatankuasa Pemilihan Institusi serta melepasi saringan ujian psikologi yang bersesuaian oleh Pegawai Psikologi.


KESIMPULAN

Program Psychology HELPER adalah merupakan inisiatif Jabatan dalam mewujudkan satu platform dalam kalangan banduan/tahanan/penghuni untuk meluah, berkongsi dan menyelesaikan masalah dengan konsep “rakan bantu rakan”.
Pemakaian logo Psychology HELPER amat wajar dan bertepatan untuk dibekalkan sebagai pengenalan diri kepada banduan yang terpilih sebagai Psychology HELPER.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai Psychology Helper & Bahagian Agama & Kaunseling, sila hubungi 03-87328000 samb.8065 atau Emel ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.