| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Ucapan Yang Berhormat Dato’ Masir Kujat Timbalan Menteri Dalam Negeri Sempena Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah Dewan Kelab Penjara Kajang Pada 26 September 2017

Terima kasih Saudara/Saudari Pengacara Majlis
 
Yang Berbahagia Dato’ Sri Alwi Bin Haji Ibrahim
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
 
Yang Berbahagia Komisioner Jeneral Penjara
Dato’ Sri Haji Zulkifli Bin Omar
Ketua Pengarah Penjara Malaysia
 
Yang Berbahagia Timbalan Komisioner Jeneral Penjara
Dato Alzafry Mohamed Alnassif Bin Mohamed Adahan
Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Keselamatan Dan Koreksional)  
 
Yang Berbahagia Timbalan Komisioner Jeneral Penjara
Dato' Jamaluddin bin Saad
Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pengurusan)

Yang Berbahagia Dato' Wan Ramli bin Wan Abdullah
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Selangor

 Pengarah-Pengarah Bahagian
 
 Pengarah-Pengarah Penjara Negeri
 
 Pengarah-Pengarah Institusi Penjara
 
 Pegawai-Pegawai Kanan
 
 Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
 

Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia.

1.    Terlebih dahulu saya merakamkan kesyukuran dan sukacitanya kita dapat bersama-sama di petang yang berbahagia ini bagi menyempurnakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) peringkat Jabatan Penjara Malaysia.

2.    Ucapan tahniah saya rakamkan kepada Yang Berbahagia Komisioner Jeneral Penjara Dato’ Sri Haji Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia kerana telah merealisasikan majlis ini dan ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang Berbahagia Dato' Wan Ramli bin Wan Abdullah, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Selangor yang turut hadir menyaksikan acara Lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang akan di sempurnakan oleh warga Jabatan Penjara Malaysia sebentar sahaja lagi.
 
Hadirin yang saya hormati sekalian,  
 
3.     Keseriusan kerajaan dalam meningkatkan integriti dan mengekang jenayah rasuah di kalangan pegawai awam jelas dapat dilihat menerusi pelaksanaan pelbagai dasar dan program yang diperkenalkan sejak sedekad lalu. Apa yang menjadi faktor paling kritikal dalam memastikan usaha meningkatkan tahap integriti perkhidmatan awam, sebenarnya bukanlah terletak hanya pada kesungguhan kerajaan, sebaliknya kesungguhan itu juga perlu datang dari kepimpinan agensi kerajaan dan menuntut semua lapisan warganya untuk berubah.
 
4.     Sudah menjadi harapan saya agar setiap warga kerja Kementerian Dalam Negeri berpegang teguh kepada amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh ketelusan. Saya tidak mahu mendengar ada di antara pegawai kita yang terpalit dengan gejala yang tidak sihat seperti rasuah, salah guna kuasa, tidak mengikut prosedur dan sebagainya. Salah laku ini bukan sahaja boleh berlaku di peringkat pengurusan namun ia juga berlaku di peringkat bawahan. Namun saya berkeyakinan bahawa kita merupakan warga kerja yang mempunyai prinsip dan tidak akan sesekali mengadaikan intergriti demi negara yang kita cintai.

5.     Penekanan amalan integriti dan menolak amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa merupakan usaha berterusan untuk menjadikan Kementerian Dalam Negeri sebagai sebuah organisasi yang adil, telus dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
 
6.     Lantaran itu, saya berharap seluruh warga Jabatan Penjara akan terus meletakkan agenda integriti sebagai keutamaan dan teras utama dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Rasuah dan salah guna kuasa di Jabatan Penjara perlu dipandang serius dan dibenteras habis-habisan. Sebarang penyalahgunaan kuasa akan menghalang proses pemulihan dan pembinaan semula diri banduan. Seterusnya layanan terhadap semua banduan perlulah secara sama rata tanpa adanya perbezaan dari segi agama, darjat, keturunan, latar belakang ekonomi dan kaum iaitu sepertimana ketetapan Akta dan Peraturan Penjara termasuklah oleh United Nations Standard Minimum Rules. Malah dasar menguruskan penjara dan banduan ditetapkan oleh Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 iaitu pegawai penjara menunjukkan contoh tauladan yang baik untuk membina semula banduan menjadi warganegara yang berguna. Oleh itu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa walaupun hanya oleh segelintir kakitangan perlu dilihat secara serius dan mesti dibanteras dengan lebih effektif dan menyeluruh.

Hadirin yang saya hormati sekalian,  
 
PEMANTAUAN RASUAH DI JABATAN PENJARA
7.      Saya yakin dengan berbagai langkah tegas yang telah diambil oleh Jabatan Penjara melalui latihan, penubuhan unit khas, kerjasama dengan  agensi penguatkuasa termasuklah SPRM dan penggunaan teknologi mampu membenteras gejala tidak sihat yang melibatkan berbagai pihak yang berurusan di penjara. Disamping itu Standard Operating Procedure yang digariskan oleh Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara perlu dipastikan dan dibuat penambahbaikan yang berterusan demi kepentingan mendidik serta mencegah anggota dari terlibat dalam gejala penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa. Kementerian Dalam Negeri akan sentiasa menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh Jabatan Penjara.

8.     Sebagai sebuah institusi penahanan dan pemulihan Penjara Malaysia kini berdepan dengan cabaran menguruskan pebagai kategori pesalah termasuklah tahanan radikal, high risk serta high profile yang memberi ancaman kepada dunia dan negara. Lantaran itu, laksanakanlah tugas yang murni ini dengan penuh keikhlasan berdasarkan lunas-lunas perundangan yang termaktub agar rakyat terus menikmati keharmornian dan kesejahteraan.
 
9.     Saya juga menyambut baik inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Penjara  dengan mewujudkan satu tabung amanah iaitu Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara (KWHPP) yang mana akaun ini digunakan untuk memberi penghargaan kepada pegawai penjara yang telah berjaya membantu membanteras kejadian yang tidak diingini termasuklah cubaan menyeludup artikel larangan ke dalam penjara. Tahniah saya ucapkan!
 
10.     Saya berharap banyak lagi inisiatif akan diperkenalkan agar kita dapat membendung gejala rasuah dikalangan anggota kita termasuklah memberi perhatian kepada ‘transisi penghuni’. Saya percaya kesesakkan penjara boleh menyumbang kepada salah laku anggota dan akan menghalang keberkesanan pemulihan itu sendiri. Saya dimaklumkan ketika ini pencapaian transisi telah pun mencapai 93.24% dimana sasaran sebenar Kementerian iaitu 95%. Saya berharap usaha terus dipergandakan dibagi tujuan ini.
 
Hadirin yang saya hormati sekalian,  
 
11.     Saya tidak ingin berucap panjang yang penting dalam pertemuan ini kita mencapai satu titik pertemuan dalam memartabatkan perkhidmatan awam yang telus dan penuh berintegriti. Akhir kata, tahniah dan syabas kepada pengurusan Jabatan Penjara agar usaha murni untuk memupuk budaya integriti dan membanteras rasuah yang kita laksanakan ini akan mendapat kebaikan bersama.
 
Sekian, terima kasih.