| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta LamanAduan & Maklum BalasHubungi KamiSoalan Lazim

Lawatan Menteri Dalam Negeri Ke Jabatan Penjara Malaysia

Menteri Dalam Negeri Y.B. Dato' Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar, telah mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia pada 10 April 2008.

Lawatan rasmi pertama ke Jabatan Penjara sebaik dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri membuka lembaran baru kepada Jabatan. Majlis sambutan diadakan dengan penuh gemilang.

Ketibaan Y.B Menteri disambut dengan perbarisan tabik hormat dan pemeriksaan perbarisan. Selepas itu satu sesi taklimat mengenai program dan perancangan Jabatan telah diadakan di bilik persidangan, disampaikan oleh Komisioner Jeneral Y.Bhg. Datuk Mustafa bin Osman, Ketua Pengarah Penjara.

Lawatan kerja sehari ini diteruskan dengan lawatan ke Penjara Juvana Kajang dan ia juga merupakan titik bersejarah apabila beliau telah merasmikan program pendidikan dalam penjara.

Bersesuaian dengan perkembangan semasa yang ingin memberikan persepsi positif kepada masyarakat dan penghuni dalam aspek mendapatkan pendidikan di kalangan pesalah juvana Sekolah Integriti Juvana diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

Semasa lawatan ini, penghuni juvana telah memperlihatkan kebolehan dan bakat melalui persembahan nasyid dan mendeklemasi puisi. Wakil pesalah juvana yang berucap merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak kerajaan dan pihak Jabatan atas usaha mewujudkan sekolah ini bagi membolehkan mereka meneruskan pendidikan.

Selain itu sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu membangunkan program pendidikan ini tidak dilupakan dan mendapat penghargaan apabila mereka yang terlibat diberikan sijil penghargaan oleh Dato' Seri Syed Hamid Albar.

Setelah itu beliau mengadakan lawatan ke Penjara Wanita Kajang dan begitu tertarik dengan usaha-usaha pemulihan dan program kemahiran yang dilaksanakan oleh pihak penjara. Lawatan juga disertai oleh Y.Bhg. Datin Seri yang tertarik dengan hasil kraftangan seperti batik dan sebagainya yang dihasilkan oleh penghuni sendiri.

Perjumpaan dengan pegawai dan kakitangan penjara juga telah diadakan dan beliau telah menyampaikan amanat sebagai suntikan semangat dan motivasi agar terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Antara lain beliau menyeru supaya semangat kerjasama di kalangan anggota ditingkatkan dari masa ke semasa. Dalam aspek kebajikan beliau berkata, pihak Kementerian sentiasa peka dengan keperluan semasa dan telah memberikan pelbagai insiatif sebagai usaha menghargai pengorbanan mereka.

Turut mengiringi lawatan ini kedua-dua Timbalan Menteri Dalam Negeri, Y.B. Dato' Chor Chee Heung, Senator Datuk Wan Ahmad Farid, Ketua Setiausaha Tan Sri Abd. Aziz Yusof dan Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.










""