
Peti Surat 82275, 87032
Jalan Bukit Timbalai Wilayah Persekutuan Labuan
Tel : 087-401000
Pusat Koreksional Labuan terletak di Kg. Sg. Buton Jln. Bukit Timbalai, kira-kira 16 kilometer dari pusat bandar. Keluasan keseluruhan institusi sebesar 27.37 ekar, di mana terbahagi kepada dua fasa, iaitu keluasan fasa I 13.35 ekar manakala fasa II 14.02 ekar. Jumlah asal kapasiti penghuni Pusat Koreksional Labuan pada awalnya ialah seramai 300 orang penghuni yang mana 270 penghuni lelaki dan 30 untuk penghuni wanita.
Namun demikian, jumlah kapasiti asal telah diubah kepada 400 orang penghuni lelaki dalam satu-satu masa manakala penempatan untuk banduan wanita telah dimansuhkan melalui memo daripada Pengarah Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM) bertarikh 18 Februari 2014. Mendapat pewartaan pada 15 Mei 2012 ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri pada masa itu dan diwartakan sebagai Pusat Koreksional Labuan.
Kini jumlah kapasiti untuk menempatkan banduan telah berubah kepada 520 orang banduan bagi penghuni lelaki. Seterusnya, telah banyak kejayaan yang diperoleh oleh Pusat Koreksional Labuan sebagai sebuah institusi Pemulihan. Pusat Koreksional Labuan terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pemulihan yang bukan sahaja menitikberatkan aspek keselamatan, tetapi juga pembangunan insan.
Pada 25 Oktober 2024, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah mengadakan Program Bicara Mufti bertemakan “Rahmat Allah Melangkau Segala Dosa” di insitusi ini, melibatkan hampir 400 pegawai dan penghuni. Program ini bertujuan memberi pencerahan agama serta menyuntik semangat keinsafan dalam kalangan penghuni. Turut dilawati oleh Mufti Wilayah Persekutuan ialah bengkel jahit dan Pusat Tahfiz yang sedang dibangunkan, menandakan komitmen pusat ini dalam menyediakan peluang pembelajaran dan kemahiran kepada para penghuni.
Selain itu, Pusat Koreksional Labuan juga aktif dalam membina hubungan komuniti melalui program keagamaan dan kekeluargaan. Pada April 2025, seramai 25 anak-anak staf telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran yang dianjurkan oleh Unit Agama institusi ini. Program ini bukan sahaja memupuk kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan generasi muda, malah mempererat hubungan antara staf dan keluarga mereka. Pelbagai aktiviti seperti tadarus, penyampaian cenderamata, dan makan berjemaah menunjukkan pendekatan holistik institusi ini dalam membentuk nilai murni dan memperkukuh institusi kekeluargaan dalam kalangan warga kerja.
Pada 22 Ogos 2025 satu majlis perasmian Pusat Tahfiz di Pusat Koreksional Labuan diadakan dan menjadi titik penting dalam usaha pemulihan berasaskan kerohanian yang semakin diberi penekanan oleh institusi ini. Dirasmikan oleh (TKJP) Tuan Haji Ahmad Faudzi bin Awang, majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan kepimpinan Jabatan Penjara Malaysia seperti TKP Tuan Zaidi bin Hamid, TKP Tey Hock Soon, PKP Tajudin bin Tungal serta tetamu jemputan Tuan Md Fadzil bin Md Saad pengurus MWAIP Labuan. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan padu terhadap inisiatif yang bertujuan memperkukuh nilai keagamaan dan spiritual dalam kalangan penghuni sebagai asas kepada perubahan diri yang lebih menyeluruh.
Penubuhan Pusat Tahfiz ini menunjukkan komitmen Pusat Koreksional Labuan dalam mengikuti arus pemulihan moden yang menekankan keseimbangan antara pembangunan mental, fizikal dan spiritual. Melalui pendekatan ini, penghuni bukan sahaja diberi peluang untuk mendalami ilmu al-Quran, tetapi juga dibimbing ke arah pembentukan akhlak dan jati diri yang lebih mantap. Usaha ini selaras dengan matlamat jangka panjang institusi untuk melahirkan individu yang insaf, berilmu dan mampu kembali menyumbang secara positif kepada masyarakat selepas tamat tempoh hukuman.
Seterusnya pada 10 September 2025 sekali lagi Pusat Koreksional Labuan dikunjungi oleh Mufti Wilayah Persekutuan dalam Program Advokasi Agama ” Pemulihan Rohani Bersama Menuju Kehidupan bermakna. Program ini melibatkan lebih 400 penghuni dan pegawai di Surau Blok Sejahtera Pusat Koreksional Labuan. Tujuan utama Program ini adalah memupuk kesedaran dan keinsafan dalam diri penghuni dalam mengharungi kehidupan yang lebih bermakna.
Pusat Koreksional Labuan bukan sahaja berfungsi sebagai institusi pemulihan, malah turut memainkan peranan aktif dalam pembangunan ekonomi komuniti melalui pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan. Antara perkhidmatan utama yang disediakan termasuk jahitan baju, jualan roti dan tempahan kek, serta tempahan kuih raya yang dihasilkan oleh penghuni sebagai sebahagian daripada program latihan kemahiran dan pemulihan. Produk-produk ini bukan sahaja berkualiti, malah mendapat sambutan daripada masyarakat setempat, membuktikan keberkesanan pendekatan rehabilitasi berasaskan kemahiran.
Selain itu, institusi ini turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Lembaga Pertubuhan Peladangan Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan bagi melaksanakan projek jualan sayur-sayuran hidroponik. Hasil tanaman yang diusahakan oleh penghuni dijual kepada orang awam, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk belajar tentang pertanian moden dan pengurusan hasil tani. Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian institusi, malah memperkukuh hubungan antara institusi dan komuniti luar.









