| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Sekolah Integriti Jabatan Penjara Malaysia



Jabatan Penjara Malaysia merupakan sebahagian daripada institusi di bawah Sistem Keadilan Jenayah yang berperanan untuk menguatkuasakan hukuman dan melaksanakan perintah mahkamah ke atas banduan sehingga dibebaskan. Selain itu, Jabatan Penjara juga berperanan dalam menyediakan program pemulihan yang berkesan kepada semua banduan yang menjalani hukuman. Begitu juga dalam aspek pendidikan, banduan masih berpeluang untuk meningkatkan ilmu pengetahuan semasa menjalani hukuman di penjara. Dalam hal ini, Jabatan Penjara turut menyediakan peluang pendidikan akademik yang dikenali sebagai Pendidikan Korektif bagi penghuni yang berminat untuk meneruskan pembelajaran walaupun berada di dalam penjara. Keperluan menimba ilmu pengetahuan ini juga merupakan persediaan kepada banduan untuk meneruskan kelangsungan hidup setelah bebas daripada penjara. Terdapat dua jenis sekolah yang menyediakan peluang untuk meneruskan persekolahan di Jabatan Penjara Malaysia, iaitu Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Integriti. Sekolah Henry Gurney menempatkan para penghuni yang dijatuhkan hukuman di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 oleh Mahkamah Juvana, manakala, Sekolah Integriti pula menempatkan banduan muda yang menjalani hukuman di penjara di bawah perintah mahkamah selain dari Mahkamah Juvana. Melalui kerjasama yang terjalin di antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia, maka penghuni juvana dan banduan muda boleh meneruskan sistem persekolahan di sekolah di dalam penjara sama ada di Sekolah Henry Gurney atau di Sekolah Integriti. Pendidikan melalui sistem persekolahan ini merupakan elemen yang penting bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah membangunkan masyarakat yang cemerlang dari segi ekonomi, politik, dan sosial. Justeru, pendidikan di penjara disediakan kepada banduan muda yang berusia di antara 15 hingga 21 tahun.

Peluang pendidikan yang diberikan ini adalah sebagai pengukuhan kendiri bagi penghuni penjara setelah dibebaskan agar mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik. Penyediaan Pendidikan Korektif kepada penghuni bukan sahaja untuk memastikan tahap pendidikan setiap penghuni diperluaskan secara sukarela malah usaha ini dijalankan bagi membolehkan mereka menikmati pemulihan bersepadu dan pendidikan yang lebih formal termasuk menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pendidikan Malaysia (SPM). Pendidikan pengajian tinggi juga turut dibuka kepada penghuni penjara yang berminat dan program ini dilaksanakan dengan kerjasama universiti awam dan swasta dalam negara. Sistem pendidikan di penjara juga memberi peluang kepada penghuni untuk mendapatkan ilmu melalui program pendidikan sejajar dengan dasar pendemokrasian pendidikan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan “Pendidikan Untuk Semua” yang telah diperjuangkan oleh UNESCO.

Sehingga kini terdapat sembilan buah Sekolah Integriti dan tiga buah Sekolah Henry Gurney di bawah kelolaan Jabatan Penjara Malaysia. Sembilan buah Sekolah Integriti tersebut adalah seperti berikut:
a. Sekolah Integriti Sungai Petani
b. Sekolah Integriti Marang
c. Sekolah Integriti Bentong
d. Sekolah Integriti Puncak Alam
e. Sekolah Integriti Muar
f. Sekolah Integriti Kluang
g. Sekolah Integriti Kuching
h. Sekolah Integriti (W) Kota Kinabalu
i. Sekolah Integriti Kota Kinabalu

Manakala tiga buah Sekolah Henry Gurney yang terdapat di Jabatan Penjara adalah seperti berikut:
a. Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka
b. Sekolah Henry Hurney Puncak Borneo, Kuching, Sarawak
c. Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah

Pencapaian terbaik hasil daripada pendidikan di sebalik tempok ini adalah lahirnya penghuni penjara yang mendapat 9A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Manakala bagi pengajian tinggi, pada tahun 2019 terdapat penghuni yang melanjutkan pengajian di peringkat Diploma seramai 25 penghuni, Sarjana Muda seramai 9 orang penghuni, Sarjana seramai 4 orang penghuni dan peringkat Doktor Falsafah seramai 2 orang penghuni. Berbekalkan kekuatan sokongan keluarga serta kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menjayakan matlamat ini amat besar nilainya kepada penghuni yang terlibat.

Usaha yang telah dijalankan oleh kakitangan di Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama agensi kerajaan bagi memastikan kejayaan dalam bidang akademik dan kemahiran vokasional adalah merupakan usaha memastikan kesejahteraan masyarakat Malaysia dapat dicapai. Kesamarataan peluang perlu diberi kepada semua orang mahupun kepada banduan yang sedang menjalani hukuman di penjara. Usaha ini perlu dipertingkatkan lagi dengan kerjasama semua pihak agar pengulangan jenayah bagi penghuni penjara dapat dielakkan mereka boleh meneruskan kehidupan dengan lebih baik selepas dibebaskan kelak.