| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Take 1Penjara

 

TABUNG KEBAJIKAN JABATAN PENJARA MALAYSIA

(TAKE 1PENJARA)

 

Klik Sini - Borang Permohonan

 

1. NAMA PERTUBUHAN

Jabatan Penjara Malaysia sentiasa komited dalam memastikan kebajikan dan perlindungan kepada anggota dan kakitangan awam agar sentiasa mendapat pembelaan apabila ditimpa sesuatu musibah sewaktu atau di luar waktu bertugas. Bagi meneruskan legasi jabatan yang sentiasa mengutamakan kebajikan dan bertepatan dengan motto jabatan “Memperkasakan Modal Insan, Kebajikan Diutamakan, Organisasi Dimartabatkan”, jabatan mengorak selangkah lagi ke hadapan dengan idea penubuhan tabung bantuan kebajikan di bawah seliaan jabatan.

Bagi memantapkan lagi pengurusan kebajikan yang sedia ada di Jabatan Penjara Malaysia dan memastikan halatuju program-program kebajikan sepusat dapat direalisasikan, semua ahli mesyuarat Majlis Tindakan Penjara (MATINPEN) peringkat Ibu Pejabat Penjara Malaysia yang bertarikh 3 September 2013 telah bersetuju untuk meluluskan usul penubuhan tabung tersebut. Sehubungan itu, pada 17 Februari 2014, Tabung Kebajikan 1Penjara telah berjaya didaftarkan sebagai satu pertubuhan di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 dengan nombor Pendaftaran PPM-07-10-17022014 dengan nama Tabung Kebajikan 1Penjara (TAKE 1Penjara).

2. ALAMAT

Alamat yang berdaftar bagi pertubuhan ini ialah,

JABATAN PENJARA MALAYSIA, IBU PEJABAT PENJARA MALAYSIA, 43000 KAJANG, SELANGOR.

3. TUJUAN / MATLAMAT

Matlamat penubuhan adalah untuk:

3.1 Mewujudkan Dana Kebajikan Sepusat Jabatan Penjara Malaysia yang bertujuan untuk membantu mana-mana kakitangan dan keluarga yang memerlukan bantuan segera apabila ditimpa kesusahan yang LAYAK untuk diberi bantuan.

3.2 Mengumpul dan mendapatkan sumber kewangan yang kukuh bagi menyokong aktiviti kebajikan yang sedia ada supaya lebih berkemampuan untuk membantu semua kakitangan dan keluarga (pasangan dan anak) yang memerlukan bantuan serta layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

3.3 Membuktikan rasa tanggungjawab pengurusan jabatan kepada semua kakitangan dan ahli keluarga dalam aspek kebajikan yang bertepatan dengan motto jabatan iaitu “Memperkasakan Modal Insan, Kebajikan Diutamakan, Organisasi Dimartabatkan”.

3.4 Memastikan aspek kebajikan setiap kakitangan dan keluarga sentiasa didahulukan dan mendapat pembelaan yang sewajarnya; dan

3.5 Memastikan semua bantuan kewangan dapat disalurkan dengan kadar segera bagi permohonan yang memenuhi syarat bagi meringankan bebanan kakitangan dan keluarga yang memerlukan.

 

4. KEAHLIAN

Keahlian TAKE 1Penjara adalah DIWAJIBKAN kepada semua kakitangan Jabatan Penjara Malaysia iaitu;

4.1 Kakitangan Seragam

4.2 Kakitangan Awam

 

5. PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

5.1 Ahli yang telah bersara wajib, pilihan sendiri, bersara atas faktor kesihatan ataupun ahli yang telah dijatuhkan hukuman buang kerja secara automatik akan terbatal keahlian serta hilang semua keistimewaan sebagai ahli pertubuhan TAKE 1Penjara.

5.2 Walaubagaimanapun, ahli yang telah bersara dan masih berminat untuk mengekalkan keahlian boleh dipertimbangkan oleh pihak Jawatankuasa TAKE 1Penjara untuk terus menikmati apa jua bantuan berkaitan tabung ini seperti di Perkara 6.
5.3 Keahlian dan keistimewaan akan terbatal secara automatik sekiranya ahli yang terbabit tidak membayar yuran tahunan selepas setahun daripada pembayaran terdahulu.

 

6. SUMBER KEWANGAN

Kaedah YURAN adalah seperti berikut:

6.1 Semua ahli hendaklah membayar YURAN sebanyak RM10.00 setahun

6.2 Bayaran yuran hendaklah didahulukan oleh Kelab-Kelab Sukan dan Kebajikan Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Pejabat-Pejabat Pengarah Penjara Negeri, Institusi-institusi Penjara dan Pusat- Pusat Latihan.

6.3 Tabung ini juga dibenarkan untuk menerima apa jua sumbangan dalam apa-apa bentuk dan sumbangan ini hendaklah diisytiharkan dalam Penyata Tahunan TAKE 1Penjara.

6.4 Tabung ini juga boleh membuat kutipan derma daripada orang ramai dengan syarat pengesahan daripada Pendaftar Pertubuhan dan pihak berkuasa berkenaan diperolehi terlebih dahulu.

6.5 Tabung ini boleh juga menjalankan kegiatan ekonomi seperti menjual, membeli, melabur, menyewa, memiliki harta alih dan tak alih dan lain-lain kegiatan ekonomi serta bertujuan meningkatkan hasil pendapatan tabung.

6.6 Semua bayaran yuran perlu dihantar dan dimasukkan ke akaun Tabung Kebajikan Penjara melalui Bank Muamalat (Nombor Akaun: 1207-0006166-71-3). Salinan resit sebagai bukti pembayaran oleh mana-mana Pejabat Pengarah Penjara Negeri/Institusi dan Pusat Latihan perlu dihantar kepada Bendahari TAKE 1Penjara menerusi emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. untuk tujuan rekod. Bayaran perlu dijelaskan pada atau sebelum 10 haribulan Januari setiap tahun.

 

7. BANTUAN DAN KELAYAKAN

Antara kategori yang layak:

7.1 Kemusnahan akibat kebakaran, kerosakan harta benda akibat daripada kejadian banjir, tanah runtuh dan ribut taufan serta lain-lain yang difikirkan LAYAK oleh jawatankuasa TAKE 1Penjara.

7.2 Pesakit kronik di kalangan ahli, pasangan dan anak.

7.3 Kakitangan yang memerlukan pembedahan segera akibat daripada penyakit kronik dan apa-apa bencana alam yang menimpa ahli dan difikirkan LAYAK oleh Ahli Jawatankuasa TAKE 1Penjara.

 

8. PEMOHON YANG LAYAK

Semua ahli yang mencarum sebagaimana yang dinyatakan di Perkara 4.

 

9. TATACARA PERMOHONAN

9.1 Semua kakitangan yang telah mencarum sekurang-kurangnya sebulan sebagai Ahli TAKE 1Penjara dan masih berkhidmat di Jabatan Penjara melalui Pegawai Hal Ehwal Staf Institusi masing-masing.

9.2 Permohonan hendaklah disertakan bersama butiran berikut;

i. Borang Permohonan TAKE 1Penjara
ii. Salinan Kad Pengenalan ahli/pasangan/anak
iii. Salinan kad waran ahli (sekiranya anggota)
iv. Dokumen sokongan daripada PDRM, Hospital, Bomba dan lain-lain agensi yang berkaitan
v. Gambar-gambar yang berkaitan dengan permohonan

9.3 Kesemua salinan dokumen perlu disahkan dan diperakukan oleh Pejabat Pengarah Penjara Negeri/Institusi dan Pusat Latihan di mana tempat seseorang itu bertugas semasa kejadian.

9.4. Permohonan hendaklah dihantar pada atau dua (2) bulan daripada tarikh kejadian yang menimpa beserta dokumen sokongan serta surat pengesyoran daripada pihak PDRM/Hospital atau mana-mana agensi untuk dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa TAKE 1Penjara.

9.5 Semua permohonan akan dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa TAKE 1Penjara bagi menilai dan mengesahkan kelayakan sumbangan kepada pemohon.

 

10. TATACARA PEMBAYARAN

Semua permohonan yang layak akan disalurkan terus melalui akaun Kelab Sukan dan Kebajikan Pejabat Pengarah Penjara Negeri/Institusi dan Pusat Latihan yang berkaitan untuk diberikan kepada pemohon.

 

11. PERTANYAAN

Sebarang pertanyaan bolehlah dirujuk kepada Pegawai Seksyen Hal Ehwal Staf, Bahagian Pembangunan Profesionalisme, Ibu Pejabat Penjara Malaysia di talian 03-8732 8175

 

12. PENUTUP

Penubuhan Tabung Take 1Penjara amat besar maknanya kepada seluruh warga kerja di Jabatan Penjara Malaysia dalam memacu jabatan ke arah sebuah organisasi yang berorientasikan kebajikan kakitangan sepanjang masa.

 

Sehubungan itu juga, dengan adanya tabungan ini adalah diharapkan agar pihak pengurusan mampu merancang dan melaksanakan program kebajikan melalui cabang pertubuhan kebajikan yang sedia ada agar lebih berkesan dan sistematik. Selain daripada itu, kadar dan jenis bantuan juga akan dikaji dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian serta jumlah terkumpul TAKE 1Penjara.