1) NILAI TERAS BERSAMA
U - UNGGUL PERSONALITI
Kami, warga Jabatan Penjara Malaysia seboleh daya menerapkan unsur “tawazun” iaitu seimbang dari segi rohani, jasmani dan akal agar kami dapat terus menyumbang dengan baik terhadap pembangunan Jabatan Penjara Malaysia
N - NILAI PERIBADI
Kami, warga Jabatan Penjara Malaysia berazam menerapkan sifat-sifat baik yang boleh membentuk watak/ karektor dan personaliti terbaik agar boleh dijadikan sebagai role-model bagi Jabatan kami
G - GERAK KERJA BERPASUKAN
Kami, warga Jabatan Penjara Malaysia akan bekerja sebagai satu pasukan, saling sokong menyokong di kalangan kami dengan semangat bersatu teguh bercerai roboh
G - GARAP ILMU
Kami, warga Jabatan Penjara Malaysia sentiasa berusaha menambah ilmu, mendalami ilmu untuk sentiasa memperbaiki diri kami agar kami kekal relevan untuk terus berada di dalam Jabatan Penjara Malaysia
U - UTUH PENDIRIAN
Kami, warga Jabatan Penjara Malaysia berpegang dengan Undang Undang/ Akta/ Peraturan/ SOP kerja yang telah ditetapkan agar kami dapat menjamin Jabatan Penjara Malaysia dapat melaksanakan peranan dan fungsinya dengan berkesan dan selamat
L - LUHUR JIWA
Kami, warga Jabatan Penjara Malaysia sebaik mungkin mengamalkan budi pekerti yang tinggi, berakhlak mulia, berbelas ihsan dan mempunyai empati yang tinggi agar kami terbina menjadi manusia sebenar yang dapat memberi manfaat kepada Jabatan dan orang lain
2) NILAI KEMBANGAN DARI NILAI TERAS BERSAMA
U - UNGGUL PERSONALITI
Ketahanan mental | cerdas | jati diri | harmonis | berpandangan jauh | terbuka | personaliti | seimbang | mahir
N - NILAI PERIBADI
bersih | adil | amanah | benar | telus | kerahsiaan | ikhlas | bertanggung jawab | dedikasi | bijak sana
G - GERAK KERJA BERPASUKAN
Kerjasama | usaha sama | komunikasi terbuka | tidak penting diri | tidak silo | saling menyokong | musyawwarah
G - GARAP ILMU
Pembelajaran sepanjang hayat | membudayakan ilmu | kemampuan keantarabangsaan | meningkatkan pengetahuan dan kemahiran
U - UTUH PENDIRIAN
Berkeyakinan | patuh pada undang-undang/ peraturan | berintegriti
L - LUHUR JIWA
Berakauntabiliti | setia | husnudzon | berakhlak | penyayang | berbudi pekerti | melindungi hak | penghuni | layanan adil
3) TAFSIRAN NILAI-NILAI KEMBANGAN
U - UNGGUL PERSONALITI
Ketahanan mental
Bertahan, menghadapi dan bertindak balas terhadap tekanan tanpa melibatkan emosi yang melampau agar tidak menjejaskan fungsi sebagai individu.
Cerdas
Memahami kehendak Jabatan, mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab kepada Jabatan, berpengetahuan dan mampu membantu menyelesaikan masalah Jabatan.
Jati Diri
Mempunyai keperibadian yang unggul dan boleh menjadi ikutan kepada kakitangan lain dalam Jabatan.
Harmonis
Saling menghormati dan menghargai di antara satu sama lain di dalam atau di luar tugas.
Rasional
Boleh dan mampu berfikir dengan logik serta munasabah.
Berpandangan jauh
Mempunyai kebolehan bagi menjangkakan sebarang perubahan dan keperluan untuk Jabatan berdasarkan perkembangan yang berlaku.
Terbuka
Terbuka dalam semua hal yang perlu agar semua keputusan dapat dibuat dengan rasional dan seimbang.
Personaliti seimbang
Mempunyai sahsiah yang seimbang dari segi rohani dan jasmani.
Mahir
Mempunyai kemahiran dan kecekapan dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.
N - NILAI PERIBADI
Bersih
Bersih dari segala unsur-unsur negatif dalam setiap perlakuan dan urusan.
Adil
Tidak memihak kepada mana-mana pihak dengan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan adil dan sama rata.
Amanah
Melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Benar
Bercakap dan bertindak dengan betul dalam apa jua keadaan.
Telus
Melaksanakan tugas dengan telus tanpa sebarang agenda tersembunyi.
Kerahsiaan
Menyimpan dan menjaga maklumat dan data Jabatan dengan selamat.
Ikhlas
Melaksanakan tugas tanpa mengharapkan balasan selain dari gaji yang layak diterima.
Bertanggungjawab
Mempunyai akauntabiliti yang tinggi serta bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas tanpa menyalahguna kedudukan dan kuasa.
Dedikasi
Bersedia menerima sebarang tanggungjawab dan tugas pada bila-bila masa demi kepentingan Jabatan.
Bijaksana
Bijak menempatkan diri di mana-mana dengan baik.
G - GERAK KERJA BERPASUKAN
Pembelajaran sepanjang hayat
Sentiasa mencari ilmu, pengetahuan dan kemahiran tanpa henti bagi memotivasikan diri ke arah yang lebih baik.
Membudayakan ilmu
Melazimkan kegiatan keilmuan pada setiap masa dan mempraktiskan ilmu yang dimiliki.
Kemampuan keantarabangsaan
Mampu berdaya saing dengan menerapkan ilmu yang ada,dikongsi untuk kecemerlangan diri dan orang lain.
Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran
Sentiasa menyebarkan ilmu, pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki kepada orang sekeliling agar ia dapat memberi manfaat kepada Jabatan.
G - GARAP ILMU
Kerjasama
Saling bantu membantu antara satu sama lain ketika melaksanakan tugasan.
Usaha sama
Membentuk kerjasama dalam kumpulan dalam usaha memartabatkan imej Jabatan.
Komunikasi terbuka
Bijak mengeluarkan idea, pendapat dan pandangan ke arah membantu Jabatan mencapai objektif yang telah ditetapkan.
Tidak pentingkan diri
Sentiasa berkongsi pengetahuan dan kemahiran sesama rakan sekerja.
Tidak silo
Bekerja secara berpasukan, memberi kerjasama dalam pasukan dan mempamerkan kualiti kerja yang baik.
Saling menyokong
Menjalinkan kerjasama erat dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dapat dilakukan dengan baik.
Musyawwarah
Sentiasa berbincang dengan ketua atau rakan sekerja atau orang bawahan bagi menyelesaikan masalah atau bagi mendapatkan sesuatu keputusan secara kolektif.
U - UTUH PENDIRIAN
Berkeyakinan
Mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri daripada segi pertimbangan peribadi, keupayaan dan kuasa dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
Patuh pada undang-undang / peraturan
Tidak mengingkari sebarang suruhan dan sentiasa menurut perintah yang diberikan dalam melaksanakan tugas.
Berintegriti
Jujur, ikhlas dan luhur dalam semua urusan.
L - LUHUR JIWA
Berakauntabiliti
Bertanggungjawab atas semua tindakan dan perlakuan sama ada ia baik atau buruk.
Setia
Memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Jabatan demi mempertahankan imej dan nama baik Jabatan.
Husnudzon
Bersangka baik dengan dasar, polisi atau sebarang pembaharuan yang diperkenalkan dalam Jabatan agar Jabatan kekal melaksanakan fungsinya dengan baik.
Berakhlak
Mempunyai perangai, tingkah laku, perilaku, tatasusila dan budi pekerti yang baik.
Penyayang
Mempunyai sifat menyayangi, mengasihi, dan bersifat belas kasihan serta menghormati orang lain.
Berbudi pekerti
Beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian.
Melindungi hak penghuni
Menghormati dan melindungi hak-hak penghuni tanpa sikap diskriminasi, penganiayaan, kekerasan atau menjatuhkan maruah tanpa mengira bangsa,
agama, jantina, status perkahwinan, umur, keupayaan, kefahaman politik dan negara asal mereka.
Layanan adil
Bersikap adil dan saksama berlandaskan prinsip kemanusiaan terutama dalam membuat pertimbangan ke atas rayuan, keputusan dan hukuman dengan mengambil kira peruntukan undang-undang, hak kebebasan dan kerahsiaan.