TERENGGANU, 21 September 2025 – Festival Kesenian Islam 2025 melabuhkan tirai dengan penuh warna-warni melalui Majlis Perasmian Penutupan yang berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu.
Majlis gilang-gemilang ini disempurnakan oleh YDH TKJP Ahmad Faudzi bin Awang, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), dengan kehadiran tetamu kehormat TKP Zaidi bin Hamid (Pengarah Bahagian Agama & Kaunseling), Pengarah-Pengarah Bahagian, Pengarah Penjara Negeri Zon Timur, Ketua Institusi Penjara Zon Timur serta dif-dif jemputan. Turut memeriahkan acara ialah Johan Qariah MTQ Antarabangsa 2025, Puan Wan Sofea Aini binti Wan Mohd Zahidi sebagai tetamu istimewa.
Acara bermula dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Bakti Setia, diikuti bacaan doa, tayangan montaj, ucapan pengelola oleh PKK Haji Mohd Nasir bin Yusof (Pengarah Penjara Negeri Terengganu), ulasan juri dan seterusnya ucapan perasmian penutupan oleh YDH TKJP Ahmad Faudzi.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah dan anugerah khas kepada para pemenang bagi kategori Tilawah Al-Quran (Qari & Qariah), Hafazan, Da’i dan Nasyid Kontemporari, termasuk penganugerahan Vokal Terbaik, Pakaian Terbaik, Peserta Paling Senior, Peserta Harapan serta Johan Keseluruhan beserta Piala Pusingan. Persembahan khas daripada pemenang dan Qariah Antarabangsa menyerikan lagi suasana.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta dan pemenang yang telah mempamerkan bakat seni berteraskan Islam sekali gus menjadikan festival ini platform dakwah, ukhuwah dan pembangunan sahsiah warga Jabatan Penjara Malaysia.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan dan jamuan tengah hari bersama semua tetamu.