Di dalam siri lawatan tersebut beliau begitu tertarik dan berbangga dengan inisiatif yang diambil oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia dengan mengadakan sebuah sekolah di dalam penjara bagi memastikan setiap banduan muda atau juvana yang ditahan mendapat peluang untuk melanjutkan pendidikan mereka sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Sekolah ini mempunyai seramai 188 orang pelajar di peringkat menengah dan rendah iaitu Kelas Asas 3M, Pra-PMR, PMR, Pra SPM dan SPM. Terdapat juga seramai 11 orang pelajar sedang mengikuti pelbagai program kursus Ijazah dan Diploma bersama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Malaya secara pembelajaran atas talian (e-learning) di sekolah ini.
Sebelum meneruskan rangka lawatan yang telah diaturkan, Y.Bhg. Tan Sri telah membuat kunjungan hormat kepada Y.Bhg.Datuk Wira Hj. Zulkifli Omar di Pejabat Komisioner Penjara , Bukit Wira dan telah diberikan taklimat Jabatan daripada Pengarah Bahagian Pemulihan dan Pengarah Parol. Sidang akhbar bersama media turut diadakan di akhir sesi lawatan kunjungan hormat ini.