| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta LamanAduan & Maklum BalasHubungi KamiSoalan Lazim

Program Mesej Dari Penjara Peringkat Penjara Negeri Sarawak Tahun 2018

Pada 26 Januari 2018 (Jumaat) bertempat di Mini Stadium, M.D.S.A, Sri Aman, Sarawak telah berlangsung Program Mesej Dari Penjara Peringkat Penjara Negeri Sarawak Tahun 2018 yang dianjurkan oleh Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Masir Kujat, Timbalan Menteri Dalam Negeri. Program Mesej Dari Penjara turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Komisioner Jeneral Penjara Dato’ Sri Haji Zulfikli Bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Yang Berbahagia Komisioner Polis, Dato’ Sri Amer Bin Haji Awal, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Yang Berbahagia Komisioner Penjara Dato’ Haji Nordin Bin Haji Muhamad, Pengarah Pengurusan Banduan, Yang Berusaha Timbalan Komisioner Penjara Ajidin Bin Haji Salleh, Pengarah Penjara Negeri Sarawak dan Yang Dihormati En Indit Bangai, Residen Bahagian Sri Aman.    

Objektif program ini adalah dapat memberi pendedahan kepada masyarakat termasuk generasi muda tentang keburukan dan kesan negatif jenayah serta untuk mengupas pentingnya penglibatan masyarakat dalam membantu golongan tersasar ini untuk kembali ke landasan yang betul apabila dibebaskan kelak. Program ini juga mempunyai temanya tersendiri dikenali “Bangkit Bersama” agar dapat memberikan semangat kesungguhan dan keyakinan kepada semua lapisan masyarakat demi bersama dalam apa jua rintangan dan kekangan dengan satu impian dan harapan agar terlaksana dalam memerangi jenayah di Malaysia.

Aturcara Program Mesej Dari Penjara bermula pada jam 8.00 pagi dan selesai program pada sekitar jam 12.00 tengahari. Pengisian program dimulakan dengan tayangan video korporat di sebalik tirai besi dan seterusnya ceramah motivasi yang disampaikan oleh pegawai dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan Bahagian Sri Aman. Program ini juga dihiburkan oleh persembahan band oleh Elite Key Band dan diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan oleh penghuni Sekolah Henry Gurney, Puncak Borneo, Kuching serta tidak ketinggalan juga persembahan pentomin oleh banduan-banduan di Penjara Pusat Sri Aman yang bertajuk “Aku Anak Derhaka”. Acara kemuncak program adalah Ceramah Perkongsian Disebalik Titai Besi oleh seorang bekas banduan yang Berjaya sebagai usahawan dan penceramah bebas yang dikenali sebagai En. Leong Bon Huat. Tidak ketinggalan juga, penglibatan pameran oleh agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan agensi-agensi lain terdiri daripada Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.